Saturday 22 January 2022

HUKUM SEBAB-AKIBAT

Menurut buku Managemen Bisnis Syariah oleh Parakkasi (2021), segala seuatu yang terjadi dan berubah harus ada sebabnya kerana tidak ada sesuatu yang terjadi atau berlaku di dunia ini tanpa adanya sebab.

Dalam al-Qur’an banyak ayat-ayat yang Allah SWT firmankan berkaitan dengan berjalanlah di muka bumi dan lihatlah akibat daripada orang-orang yang derhaka, kufur terhadap perintah Allah, membunuh para nabi, membuat munkar tanpa batas dan berbagai lagi kerosakan yang mereka lakukan. Allah SWT mengazabkan mereka dengan azab yang sangat pedih di dunia lagi melalui berbagai cara.

Hukum sebab-akibat (The Law of Causality) dihasilkan oleh penggunaan akal rasional manusia sejak manusia boleh berfikir logik. Ianya bukan teori ilmiah yang dihasilkan secara ujikaji. Dalam Hukum Sebab-Akibat prinsip “the order of events” (urutan kejadian) menjadi landasan kepada Hukum Sebab-Akibat.

Dalam kuliah matematik peringkat universiti dan sekarang sudah diajar di peringkat sekolah menengah mengenai “The Theory of Logic” (Teori Asas Logik). Teori ini dijadikan bab pertama dalam kuliah selama satu semester (4 bulan) supaya pelajar terbiasa dengan berfikir logik.

Teori logik ini sangat penting dalam Matematik Konstruktif (Constructive Mathematics) kerana kita yang membentuk matematik tersebut seperti teori set, fuzzy set dan sebagainya. Matematik begini dibina dari awal, dan berkembang secara logik.

Dalam konteks epistemologi, Hukum Sebab-Akibat adalah sumbangan terbesar ahli falsafah idealisma Greek yang bernama Plato. Tanpa prinsip sebab-akibat, maka tak ada teori filsafah, tak ada sains dan teknologi, tak ada teologi, tak ada sejarah, serta aturan-aturan hukum pun menjadi tak bermakna.

Hukum Sebab-Akibat ini juga disebut sebagai Sunnatullah yang terjadi kepada setiap kejadian (events), baik dari kejadian yang sederhana (simple) kepada kejadian yang kompleks (complex). Semua itu Allah SWT telah nyatakan bahwa pada setiap akibat ada penyebabnya.

Dalam bahasa yang mudah, “setiap kejadian merupakan akibat yang timbul dari serangkaian perbuatan yang saling berkaitan yang menjadi penyebab timbulnya akibat.”

Dalam Surah Ar-Ruum (30), ayat 41, Allah SWT berfirman, “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Oleh kerana kejahilan manusia dalam mengendalikan urusan persekitaran, masyarakat dan negara maka akibatnya terjadi banjir, kemarau, salah urus kewangan, salah guna kuasa dan sebagainya. Malah dalam memahami kehendak dan syariat Islam pun ada orang terkenal yang tidak dapat membezakan antara agama yang Allah redhai dengan agama-agama syirik sehingga sanggup melakukan ritual agama lain demi meraih simpati dan undi. Ini mala petaka besar kepada masyarakat dan negara.

Kita hanya sekadar mengingatkan bahwa ada tindakan-tindakan yang dibuat oleh pihak-pihak yang berkuasa yang akan mengakibatkan kemusnahan alam dan kemanusiaan, namun pihak yang menegur dipersalahkan kerana menggangu mereka mengaut kekayaan negara untuk diri sendiri.

Kita sangat berharap agar mereka yang berkuasa akan sedar terhadap akibat daripada perbuatan mereka yang rakus kuasa dan harta. Nilai kemanusiaan itu lebih penting daripada nilai harta yang diperolehi secara tidak betul.

Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kita yang tercinta daripada salah urus negara akan nantinya rakyat marhaen akan menerima akibatnya. Aamiin....

#sunnatullah

#hukumsebabakibat

DrIsbah, Teras Jernang, 22-01-2022

No comments:

Post a Comment