Thursday 17 March 2022

38 NASIHAT IMAM AL-GHAZALI

Dalam buku Imam Al-Ghazali yang bertajul, “Jalan Orang Bijak”, terbitan tahun 2016 oleh Penerbit Zaman, Jakarta Imam Al-Ghazali memberikan kita 38 nasihat.

Buku setebal 332 mukasurat dan berukuran 19cm (Panjang) dan 13cm (lebar) sebaiknya menjadi panduan bagi kita umat Islam agar menjadi panduan hidup di dunia dan mendapat keampunan Allah di akhirat.

Secara ringkas, saya turunkan nasihat-nasihat Imam Al-Ghazali tersebut agarnya ianya menjadi ingatan buat kita bersama.

1. Jangan terlalu leka dengan urusan dunia sehingga lupa akan adanya kematian.

2. Jangan panjang angan-angan. Hiduplah pada dunia nyata dan hadapi reality.

3. Jadilah orang yang kanaah (merasa cukup) dengan pemberian Allah.

4. Rezeki Allah dimakan, tetapi tidak pernah bersyukur kepada-Nya.

5. Jangan meremehkan taubat. Segera bertaubat apabila melakukan dosa.

6. Manusia dicipta untuk mengabdi diri kepada Allah. Teruskan berada pada jalan Allah.

7. Jangan mengutamakan harta benda dalam hidup, utamakan Allah daripada segala-galanya.

8. Allah mencipta manusia bukan sia-sia, manusia diminta bersabar dalam hidup.

9. Jangan melaknat makhluk kerana laknat itu akan kembali kepada yang melaknat.

10. Berbuat baik dan bersilaturahim dengan semua orang, bukan terhadap orang yang berbuat baik kepada kita saahaja.

11. Jangan tertipu dengan kilauan dunia kerana ianya memang mempersonakan, tetapi tempat kembali yang sebenarnya ialah Allah.

12. Penuhilah janji apabila berbuat janji, jangan sekali-kali ingkar janji yang telah dibuat.

13. Jangan ikuti hawa nafsu kerana hawa nafsu jahat tidak mendekatkan kita kepada Allah.

14. Hampirilah Allah pada setiap Ketika dan jangan sekali-kali durhaka kepada-Nya.

15. Baiki agama setiap masa kerana pahala Allah akan bergantung kepada kekuatan pegangan kita kepada Allah.

16. Dalam menyeru orang lain berbuat baik dan meninggalkan maksiat, maka diri sendiri mestilah terlebih dahulu berbuat demikian.

17. Lakukan apa yang Allah perintahkan dan hindarilah apa yang Allah larang.

18. Mengadu apa-apa masalah hanya kepada Allah dengan memanjatkan doa dan pengampunan.

19. Banyak bersabar dan bersikap tawadhu dalam hidup, pati Allah akan memudahkan jalan-jalan kehidupan kita.

20. Jangan ganggu orang lain, Allah muliakan orang yang baik akhlaknya.

21. Hindari segala dosa walau sekecil mana sekali pun. Hidup akan lebih bahagia apabila kita senentiasa melakukan kebaikan.

22. Belajar kemuliaan daripada orang-orang yang mulia dan memuliakan Allah.

23. Selalulah berzikir kepada Allah, ingat segala nikmat yang telah Allah berikan.

24. Musuhilah syaitan kerana dia adalah musuh yang nyata dalam hidupmu.

25. Anutilah Islam kerana Islam adalah satu-satunya agama yang Allah redhai.

26. Banyakkan bekalan untuk menuju akhirat kerana kematian akan menutup segala pintu berbuat baik.

27. Bayangkan betapa panasnya neraka. Ini akan membuat kita menghindari maksiat dan dosa.

28. Bayangkan betapa indahnya syurga bagi orang-orang yang beriman dan berbuat baik di dunia.

29. Ruh adalah milik Allah, segala apa yang kita dapati di dunia hanyalah pinjaman dari Allah.

30. Jangan mati kecuali dalam kedaan bertakwa kepada Allah dan mengharap balasan syurga dari-Nya.

31. Cinta Allah dan cinta dunia tidak akan pernah Bersatu, oleh itu ambillah dunia untuk keperluan mencintai Allah semata-mata.

32. Bersabarlah sebentar di dunia sementara menunggu kesenangan yang kekal di akhirat.

33. Jangan mencari kemasyhuran melalui amal, buat amal secara ikhlas semata-mata bagi mendapat redha Allah.

34. Berwaspada terhadap amalan yang kita buat, jangan terlalu yakin diterima Allah. Bersifatlah dengan sikap takut dan harapan (khauf wa roja’).

35. Jangan terlalu menerima pujian kerana dalam pujian terselindung rasa ta’jub dan riya.

36. Jangan bermusuh denga utusan Allah (Nabi dan Rasul), siapa yang menentang utusan Allah, maka samalah menentang Allah.

37. Cintailah orang lain seperti mana kamu mencintai dirimu sendiri.

38. Kerjakan kebaikan dan hindari kerja buruk, kerana kerja kebaikan akan mengantar kita ke syurga.

Dekimianlah secara ringkas 38 nasihat Imam Al-Ghazali bagi kebaikan kita semua. Semoga kita dapat melaksanakan semua nasihat yang Imam Al-Ghazali berikan. Aamiin!!!...

DrIsbah, Teras Jernang, 18-3-2022.

No comments:

Post a Comment