Thursday 17 November 2022

Pertembungan idea dalam Melayu-Islam

Apabila dianalisis secara mendalam perkembangan politik Melayu-Islam sehari dua ini, jelas sekali sebenarnya merupakan hasil pertarungan besar idea (contending of major ideas) antara 3 kelompok:

1. Kelompok nasionalis melayu tulen yang diwakili oleh UMNO, BERSATU dan PEJUANG. Bagi mereka ini, Islam itu adalah juzu’ kecil dalam perjuangannya.

2. Kelompok nasionalis melayu tulen yang cuba diwarnai (sibghah) dengan Islam (Islamic nationalist) yang diwakili oleh PAS. Golongan ini dipanggil oleh Dr. Harun Din dalam perbualannya dengan Ustaz Azizan Razak 1976 di rumahnya di PJ (sebelum pindah di Bangi – Mohd Nor Nawawi menemani Ust Azizan Razak); iaitu berorientasi Islamik tetapi kental kebangsaan Melayu. Beliau menganggap dirinya dalam kelompok ini. Ust Fadhil Mohd Noor tidak menerima (subscribes) kepada kaedah ini tetapi Ust Hadi Awang samalah pemikirannya Dr. Harun Din.

3. Kelompok Islamis yg memahami Islam itu alamiah dan tidak tertarik dgn Nationalis Melayu tulen. Kelompok ini diwakili oleh Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang melihat masyarakat yang dibina oleh Rasulullah SAW dalam konteks Perlembagaan Madinah dan Negara Islam Sepanyol dengan persetujuan (convenvicia) yang masyur itu di mana orang Islam, Kristian dan Yahudi hidup aman damai lebih kurang 800 tahun. Bagi DSAI, inilah model Islam terbaik bagi masyarakat majmuk, dan inilah yg cuba dibawanya hari ini dengan tidak mahu menafikan hak-hak bukan Islam.

Ulama pendakwah terkenal al-Marhum Dr. Syeikh Muhammad al-Ghazali ketika dijemput ke Malaysia oleh DSAI pada tahun 1990-an mengatakan “unik sekali Malaysia ini. Allah menguji anda apakah anda boleh mewujudkan Sepanyol kedua. Segala resipi ada di sini”.

Jadi, saudara perlu ingat apa sedang kita saksikan ini BUKAN percaturan politik kecil, tetapi merupakan pertarungan idea yg besar. Sudah tentu akan ada orang yang menyokong kelompok 1, 2 dan 3 mengikut kefahaman masing-masing.

Cuma persoalannya dari segi ajaran Islam sebenar, ajaran manakah yg betul?

Dr. Mohd Nor Nawawi berpandangan yang ketiga (3) adalah lebih tepat kerana ISLAM TIDAK RASIS atau PERKAUMAN.

Sejarah Islam ialah sejarah kepelbagaian etnik dan agama. Yang Nabi tidak benarkan agama lain wujud kecuali Islam sahaja hanyalah di Jazaratul Arab (Semenanjung Arab). Selain daripada itu tiada masalah.

Sejarah Islam adalah penuh dengan toleransi dan tasamuh terhadap semua kelompok muslim dan bukan Muslim. Hukum Islam (kecuali yang jelas (qat’ie)) berubah mengikut situasi.

Pada asalnya, ulama berpandangan, perlu ada 1 khalifah sahaja. Tetapi, apabila wujud lebih khalifah (Abassiah di Timur Tengah dan Umayyah di Spanyol) ulama mengubah pula fatwanya dan selepas itu apabila wujud sultan-sultan dan kerajaan-kerajaan kecil, ulama mengubah lagi fatwa mereka.

Dalam konteks Sepanyol yang mana terdapat masyarakat Muslim dan Kristian, para ulama tersohor (muktabar) di Sepanyol menulis dengan mendalam sekali tentang hukum kerjasama Muslim-Kristian.

Jadi Islam itu relevan sepanjang zaman kerana ijtihad ulama adalah hebat.

Organisasi politik yang tidak mengikuti perkembangan zaman akan terus ditinggalkan zaman.

Prof Dr. Mohd Nor Nawawi berpendapat DSAI memahami Islam itu dengan tepat, berbanding orang tertentu walaupun dipanggil ustaz!

Kredit: Prof Dr Mohd Nor Nawawi, Universiti Islam Selangor (UNISEL), Malaysia.

#jatidirimelayuislam

DrIsbah, Teras Jernang, 17-11-2022.

No comments:

Post a Comment