Sunday 26 September 2021

PERJUANGAN ISLAH MASYARAKAT BUKAN MUDAH

Perjuangan memperbaiki sebuah masyarakat (Islah Masyarakat) yang sudah terbiasa dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketidakadilan dan lain-lain sifat bobrok bukanlah suatu perjuangan yang mudah.

Ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya, "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)". (Al-Maidah (5) : 21).

Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)" (Al-Maaidah (5) : 22).

Diantara mereka ada dua lelaki yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman" (Al-Maaidah (5) : 23).

Dua lelaki tersebut telah memberikan cadangan memasuki Palestin melalui pintu yang lain, namun dalam ayat berikutnya mereka tetap menolak cadangan tersebut.

Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu" (Al-Maaidah (5) : 24).

Akhirnya Nabi Musa mengadu kepada Allah mengenai karenah Kaumnya yang tetap degil.

Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu" (Al-Maaidah (5) : 25).

Akhirnya Allah memutuskan agar Kaum Bani Israel yang degil itu menerima hukuman akibat kedegilan mereka.

Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu" (Al-Maaidah (5) : 26).

Sejak ingkarnya kaum Bani Israel terhadap perintah Allah memasuki Palestin, mereka terumbang ambing selama 40 tahun.

Mereka sepatutnya ingat bahwa Firaun , pemerentah yang sangat berkuasa yang disokong oleh:

(1) menteri dan anggota kerajaannya seperti Haman serta tentera kerajaan.

(2) golongan usahawan dan hartawan seperti Qarun.

(3) golongan ahli agama seperti tukang- tukang sihir.

(4) golongan pengamal penghebahan dan pengiklanan (media massa) seperti mereka yang menghebuhkan masa & tempat pertemuan antara Saiyyidina Musa dan ahli- ahli sihir.

Sementara Saiyyidina Musa dibantu oleh saudaranya, Saiyyidina Harun. Baginda dibebani pula dengan pengikut baginda yang banyak keliru dan tidak tetap pendirian, citarasa yang rosak, serta mudah dipengaruhi oleh dakyah yang bertentangan - umpama dakyah sesatnya Samiri.

Sedangkan Saiyyidina Musa membesar dalam segala kemewahan di istana Firaun. Sekiranya dihitung berdasarkan sifir kebendaan - apalah untung Saiyyidina Musa bangun berdepan dengan Firaun yang punya segala kuasa dan kekuatan. Seakan lebih wajar bagi Saiyyidina Musa menikmati kemewahan di Istana daripada mendedahkan dirinya kepada ancaman akibat perjuangan untuk membebaskan kaumnya daripada terus ditindas oleh Firaun, daripada kaumnya hidup dan kehinaan dan perhambaan.

Tetapi keyakinan, tetapi kepatuhan menjunjung kebenaran, tetapi kesetiaan kepada Agama membawa Saiyyidina Musa keluar dari kemewahan istana untuk mendepani kezaliman Firaun, untuk mengepalai kaumnya yang hanyut tanpa keberanian dan keteguhan tekad.

Kemuncaknya Saiyyidina Musa membawa kaumnya keluar dari Masir sebelum subuh , pemergian mereka disedari oleh Firaun. Mereka dikejar oleh pasukan tentera yang lengkap. Sehingga mereka menghampiri laut, di depan laut, dan cerah sinar pagi menampakkan kepada mereka pasukan Firaun yang semakin dekat mengejar mereka dari belakang.

Ketakutan mereka memuncak, sesungguhnya mereka benar- benar terkepung antara laut dan tentera Firaun.

Ketika itu Pertolongan Allah datang, datangnya sebagai keajaiban yang di luar daya upaya manusia. Laut terbelah untuk memberi laluan kepada Saiyyidina Musa dan pengikut baginda.

Laut itulah juga kemudiannya memerangkap Firaun dan tenteranya. Firaun terperangkap di ketika dia telah berjaya memerangkap dan mengepung Saiyyidina Musa dan pengikut baginda - terperangkap di antara tentera yang lengkap oeralatan dan lautan luas yang terbentang.

Pertolongan Allah serta Kejayaan Saiyyidina Musa ini, perjuangan baginda yang penuh perit jerih semada dari kezaliman Firaun mahupun rendah budi serta hemmah kaum baginda.

Firaun serta pembantu-pembantunya sentiasa ada di sepanjang zaman, hanya size, format dan skripnya sedikit berubah. Ada Firaun di dalam diri kita, yang dinamakan nafsu. Ada Firaun di dalam masyarakat kita. Oleh itu kita perlu mengingati, mempelajari, mengamalkan tauladan yang telah ditunjukki oleh Saiyyidina Musa alaihi as-salam.

Inilah sebahagian peringatan yang kita sambut setiap tahun. Setahun sekali, kita tambatkan kembali kesedaran dan tekad kita kepada perjuangan, pengorbanan, pembersihan jiwa serta munajat Saiyyidina Musa yang hebat itu.

Inilah Asyura yang kita selalu sambut, Ashura yang malam dan siangnya kita penuhi dengan ketaatan dan zikir kepada Allah, berselawat ke atas Rasul kita Sollallahu alaihi wassallam dan para anbiya terdahulu.

#jatidirimelayuislam

DrIsbah, Teras Jernang, 26-09-2021

No comments:

Post a Comment