Friday 27 August 2021

Politik Fitnah adalah politik tidak matang.

Setelah 64 tahun negara kita merdeka, politik negara kita mestilah berubah kepada politik yang lebih matang, politik yang ada ilmu bukan kosong. Setiap pertuduhan perlu ada bukti kukuh. Hindarilah politik fitnah untuk terus berkuasa.

Menurut Wikipedia, fitnah merupakan satu bentuk komunikasi kepada satu pihak atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain, ia berdasarkan atas fakta palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, obses, atau menjatuhkan dan/atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu pihak. Kata "fitnah" diserap dari Bahasa Arab, dan pengertian aslinya adalah "cubaan" atau "ujian".

Sejak tahun 1989 hingga kini iaitu tahun 2020 politik Malaysia menjadi buruk (jelek) disebabkan fitnah yang tidak masuk akal dan telah terbukti palsu di mahkamah, namun seteru politik masih memainkan isu yang sangat menjijikkan itu. Apakah mereka ingin mendidik masyarakaat Malaysia menjadi sejijik itu dalam hidup mereka?

Mengenai isu fitnah terdapat lima belas (15) ayat al-Qur’an mengenai fitnah iaitu Al-Baqarah (2) : 191; Al-Baqarah (2) : 193; Al-Baqarah (2) : 217; Ali’-Imran (3) : 7; An Nisa’ (4) : 91; Al-Anfal (8) : 39; Al-Anfal (8) : 73; At-Taubah (9) : 47; At-Taubah (9) : 48; At-Taubah (9) : 49; Yunus (11) : 85; Thaha (20) : 85; Al Hajj (22) : 11; Al-Hajj (22) : 53; dan Qalam (68) : 11.

Ini menunjukkan betapa seriusnya isu fitnah yang dikatakan lebih kejam daripada pembunuhan. Mereka bertujuan untuk membunuh karakter pemimpin yang baik agar mereka yang jahat dan serakah dapat bertindak sesuka hati. Kesaksian juga direka-reka dan semuanya palsu belaka.

Sungguh malang Malaysia mempunyai ahli-ahli politik yang suka menabur fitnah berbanding berhujjah dengan mengemukakan bukti yang nyata dan terang. Juga malang Malaysia memiliki sejumlah saksi yang sanggup menggadai maruah diri dengan mendapat upah yang tidak seberapa. Bersaralah dari menjadi pemfitnah dan menjadi pesaksi palsu selama-lamanya dan ingatlah kepada amaran Allah dengan balasan yang sungguh dahsyat di neraka.

Manusia sangat suka menyebarkan sesuatu berita tanpa mengesahkan dulu apakah berita yang didapati itu shoheh (benar) atau tidak. Allah swt mengingatkan kita melalui FirmanNya dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Kalau panduan ini dituruti, maka tidak perlulah Harian Kompas dari Indonesia terpaksa meminta maaf kepada Perdana Menteri Malaysia beberapa hari yang lalu mengenai berita yang mereka terbitkan. Hanya Allah swt dan orang yang melakukan sesuatu perkara itu yang tahu, yang lain hanyalah membuat andaian semata-mata. Sekiranya orang berbuat sesuatu perkara itu tidak jujur dengan perbuatannya maka dia akan mencari seribu satu alasan untuk menutup keburukannya atau juga dia akan mencari seribu satu alasan untuk menegakkan kebenarannya.

Fitnah mengikut kefahaman Bahasa Melayu adalah komunikasi yang ditujukan kepada seseorang atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif kepada sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain berdasarkan fakta palsu. Ia bermatlamat memburukkan atau mempengaruhi penghormatan, wibawa, atau reputasi seseorang.

Dalam ayat ini Islam menekankan kaedah lebih cermat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan supaya manusia keseluruhannya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah.

Setiap Muslim wajib menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu diteliti kesahihannya.

Justeru dalam Islam, ketika berhadapan dengan sesuatu perkhabaran, kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Fitnah berasal daripada bahasa Arab, dan pengertian asalnya adalah "cobaan" atau "ujian". Dalam Al-Quraan dan Hadis Nabi SAW, perkataan fitnah digunakan bagi menunjukkan pelbagai makna yang berbeza-beza mengikut kefahaman ayat dan ada sesetengahnya adalah boleh dirujuk sebagaimana kefahaman masyarakat kita terhadap maksud fitnah.

Maksud dan pengertian fitnah jika diselak lebar al-Quran dan hadis adalah sebagaimana berikut:

1. Kufur atau kafir

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah . Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…” (Al Baqarah: 217)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” (Al Baqarah: 193)

Kata fitnah dalam ayat ini menurut para ulama tafsir adalah bermaksud ‘kekafiran’ atau ‘kemusyrikan’. Iaitu bahawa mereka itu menyebarkan kekafiran.

Sementara sebahagian kaum muslimin oleh karena belum dikhabarkan oleh Nabi shalallahu ‘alaihi wassalam maka mereka telah melakukan kekeliruan dengan memerangi kaum musyrik di bulan haram (bulan yang ditegah berperang). Namun dek kerana kekafiran kaum musyrik itu lebih besar bahayanya daripada kekeliruan berperang di bulan suci maka keizinan untuk memerangi kekufuran yang mulai merebak adalah dituntut.

2. Bencana

Sabda nabi Sallallhu alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Apabila datang (meminang) kepada kamu seorang pemuda yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia dengan anak perempuan mu. Dikhuatiri akan terjadi fitnah (bencana) dan kerosakan yang besar di muka bumi.”

Perkataan fitnah dalah hadis ini memberikan maksud bencana atau musibah yang akan berlaku sekiranya perkahwinan ditangguhkan. Ini kerana syarat pemuda soleh itu adalah sebaik-baik pilihan untuk dijadikan suami kepada anak-anak perempuan.

3. Konflik

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al-Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mu-tasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah…” (Ali Imran: 7)

Terdapat sebahagian orang Islam yang hanya menggunakan semata-mata penilaian mengikut aspek rasional. Sengaja mencari penafsiran ayat melalui pendekatan logik akal manusia yang terbatas semata-mata, sehingga melencong dari tafsiran yang tepat. Tujuan mereka semata-mata menyebar fitnah, iaitu mencari konflik dan perselisihan dengan sesama muslim.

Inilah penjelasan kepada ayat ini yang dengan jelas menyebut perkataan fitnah. Ia bermaksud menimbulkan konflik dan kekeliruan dalam msyarakat. Ia juga disebut sebagai propaganda.

4. Tipu

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :

“Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah” (Al An’am: 23)

Fitnah yang dimaksud dalam ayat ini adalah ucapan tipu dan dusta, untuk membela diri mereka di hadapan Allah. Padahal Allah mengetahui hakikat mereka, dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

5. Binasa

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus dalam fitnah.” Ketahuilah bahwa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah . Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir” (At Taubah: 49)

Dalam ayat ini kaum munafik di masa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam enggan menyertai peperangangan kerana menganggap ianya adalah suatu kebinasaan (fitnah). Padahal sesungguhnya mereka telahpun berada dalam kebinasaan dengan sifat munafik. Iaitu kebinasaan diri mereka di akhirat kelak dengan balasan neraka yang paling bawah.

6. Gangguan

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, maka apabila ia disakiti (karena ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah (gangguan) manusia itu sebagai azab Allah . Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah bersamamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?” (Al Ankabut: 10)

Dalam ayat ini, kata fitnah membawa maksud ganguan. Inilah sifat biasa manusia yang menganggap ujian Allah dalam bentuk gangguan manusia sebagai azab.

Justeru adalah jelas perlakuan fitnah secara umumnya adalah merujuk kepada tindakan yang jahat dan berdosa. Sekalipun kefahamannya adalah berbeza-beza namun hakikatnya ia merujuk kepada perbuatan yang akan membawa manusia kepada jalan Neraka.

Soalnya, manakah tempat kembali yang lebih dahsyat selain Neraka oleh Allah Subhanahu Wata’ala bagi mereka yang zalim. Ia adalah sebagai tanda keadilan-Nya bagi ummat nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dileluasakan untuk melakukan apa sahaja ketika di dunia termasuk perilaku memfitnah sesuatu yang dusta menggunakan fakta salah dengan tujuan jahat memberikan stigma negatif ke atas peribadi seseorang.

Mohon dijauhi Allah Negara kita dari suburnya amalan fitnah memfitnah bagi menjatuhkan maruah seseorang. Biar apa pun tujuan satu golongan membuat fitnah terhadap golongan yang lain, amat kita harapkan amalan itu ditamatkan segera.

Bercakap benar lebih baik dan mudah dari bercakap bohong kerana setiap kebohongan akan melahirkan rentetan kebohongan yang baru bagi menutup kebohongan pertama. Jujurlah terhadap segala perbuatan kita kerana akhirnya Allah akan menilai setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia untuk mendapat balasan di akhirat.

Kita perlu Kembali kepada politik yang berakhlak dan jangan sekali-kali mengamalkan pendapat yang menyatakan, tujuan menghalalkan cara (the end justifies the means). Kalau tujuannya baik, namun cara untuk sampai kepada tujuan itu salah, maka tujuan itu pun tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Kesan daripada politik fitnah akan membawa konotasi buruk kepada rakyat, mereka tidak dapat membezakan antara mana yang baik dan mana yang buruk. Hal ini akan lebih parah jika pemimpin politik yang mereka sanjung mengamalkan politik fitnah untuk naik dalam karier politik mereka.

Aku berdoa agar Malaysia mempunyai ahli politik yang benar-benar berjuang untuk rakyat bukan berjuang untuk diri sendiri dan kroni-kroni mereka. Ya Allah, jadikanlah mereka ahli-ahli politik yang jujur dan membela nasib rakyat. Aamiin!!!.

#politikmalaysia

#cetusanminda

DrIsbah, Teras Jernang, 27-08-2021

Tuesday 24 August 2021

Sistem Dua Parti Politik Di Malaysia.

Melihat daripada situasi politik Malaysia sekarang ini dan meramalkan implikasinya pada masa hadapan. Saya berani untuk mencadangkan agar diujudkan Sistem Dua Parti. Boleh kita namakan dua parti itu Pemain Buah Putih dan Pemain Buah Hitam dalam Permainan Catur.

Di Amerika Syarikat ujud Parti Demokrat dan Parti Republikan. Cuma masalah di Malaysia ialah setiap pemimpin hendak membuat parti sendiri supaya dia jadi ketua parti, mereka tidak memikirkan kalau satu parti kecil ada hanya beberapa orang sahaja wakil rakyat di parlimen, apa-apa usul pun tidak akan ke mana. Mungkin sahaja ke laut.

Menurut Wikipedia [1], dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, hasil PRU ialah BN mendapat 47.38%, PH mendapat 36.1%, GS (Gagasan Sejahtera) mendapat 14.78%, Warisan mendapat 0.87% dan bebas mendapat 0.87%. PH dapat memerintah selama 22 bulan kemudian tumbang kerana berlaku kes Shariton (lompat parti).

Sekiranya Malaysia menggunakan system dua parti, saya berpendapat politik Malaysia akan lebih stabil dengan syarat ada undang-undang untuk melarang lompat parti. Jika melompat juga kerusi parlimen yang diwakil oleh “katak” tersebut mestilah dikosongkan dan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan bagi memilih ahli parlimen yang baru.

Dalam wawancara Astroawani [2], mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpendapat sistem dua parti adalah baik untuk politik di negara ini. Beliau berkata demikian dalam wawancara dengan Astroawani seperti yang dilaporkan oleh Hilal Azmi pada 10hb. Ogos 2016.

Gabungan pembangkang yang kuat juga katanya baik untuk negara.

"Saya lebih suka kalau negara kita amalkan sistem dua parti.

"Tetapi, pembangkang di Malaysia perlu membentuk kerjasama yang boleh menghasilkan satu suara yang padu untuk membentuk polisi dan strategi jika mereka berjaya memegang tampuk kuasa," katanya selepas pelancaran buku "Frankly Speaking" yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Tambah Tun Musa, satu lagi cabaran buat pembangkang dalam pilihan raya adalah mengenai pengagihan kerusi. "Mereka mesti menang pilihan raya dan untuk memenangi pilihan raya, mereka mesti (bersetuju) mengenai peruntukan kerusi. Itulah kemuncaknya.

"Mereka mesti mempunyai pendapat yang sama mengenai peruntukan kerusi. Kebanyakan pada masa lalu, ia tidak pernah berhasil," katanya lagi.

Suara Merdeka [3] pula berpendapat bahwa, BENAR secara praktikalnya hak untuk menentukan siapa Perdana Menteri adalah dibuat berdasarkan konsensus parti-parti komponen dalam parti pemerintah.

Yang di-Pertuan Agong secara dasarnya hanya mengesahkan pemilihan yang dilakukan tersebut.

Isu peralihan kuasa terus mewarnai senario politik negara apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan enggan menyerahkan jawatan disandangnya kepada bakal pengganti disebut-sebut sebelum ini iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Desakan tersebut kian memuncak berikutan kekalahan teruk kerajaan PH pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Terbaharu, tular pula tangkap layar yang didakwa surat Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah mengenai usul untuk membahaskan peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Di sebalik pergolakan politik tersebut, keadaan ekonomi negara terus terumbang-ambing dengan hutang dan kadar inflasi semakin meningkat.

Ketidakcekapan barisan menteri menangani isu dan kekurangan idea-idea yang bernas turut mempengaruhi persepsi masyarakat umum.

Realitinya peralihan kuasa di peringkat kepimpinan tertinggi jika berlaku tanpa mengikut proses yang betul dan tertib, hanya akan mengundang bencana kepada negara.

Melantik Perdana Menteri baharu juga tidak akan mampu mengubah serta-merta nasib negara dan rakyat menjadi lebih baik seperti diharapkan.

Tindakan ini hanya dapat memuaskan hati pihak-pihak tertentu dan kesan jangka panjang sudah tentulah tertanggung ke atas rakyat juga.

Persoalannya, sampai bila Malaysia harus terus menghadapi keadaan huru-hara politik sebegini?

Maka, pertanyaan selanjutnya yang timbul adalah, mungkin ini adalah masa terbaik untuk kita melaksanakan sistem politik dua parti.

Mengamalkan sistem dua parti bermakna kedua-kedua parti politik terbesar dalam konteks ini – PH dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang yang sama untuk menerajui negara.

Amerika Syarikat sering dilihat sebagai contoh mudah dalam mengamalkan sistem dua parti ini.

Dua parti terbesar negara itu, Demokrat dan Republikan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik kerana masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk menjadi kerajaan.

Parti yang kalah, diharapkan dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang kuat.

Dalam bahasa mudah, pelaksanaan sistem ini memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang benar-benar efektif selain menghalang monopoli kuasa parti-parti tertentu.

Hakikatnya pandangan ini juga pernah disuarakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam sebelum ini.

Ini kerana katanya, gabungan pembangkang yang kuat adalah baik kepada negara seperti Malaysia.

“Tetapi pembangkang di Malaysia perlu membentuk kerjasama yang boleh menghasilkan satu suara yang padu untuk membentuk polisi dan strategi jika mereka berjaya memegang tampuk kuasa,” katanya.

Hari ini, kita dapat melihat ‘pembangkang’ yang dimaksudkan Musa telah pun menjadi kerajaan.

Maka, jika ingin dilakukan perubahan kepada pilihan raya sistem dua parti, ini adalah masanya.

Ketika saya berbincang dengan seorang kawan mengenai idea ini, beliau membantah saya bahwa di Malaysia system dua parti tak mungkin berlaku kerana mentality dan pemikiran rakyat Malaysia dan ahli politik belum sampai ke tahap itu. Saya hanya berkata, kitab oleh cuba dan cadangkan idea ini kalau-kalau ada yang sudi menerima.

Melalui system dua parti, pentadbiran politik Malaysia dalam hal semak dan imbang (check and balance) dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Grandmaster, pemain buah Putih dan Grandmaster, pemain buah Hitam dalam system pertandingan catur akan memilih team penasihat mereka yang hebat-hebat agar pasukan mereka akan memenangi perlawanan catur. Setiap saat team mereka akan menganalisa setiap Gerakan yang mereka buat. Apa akibat yang akan terjadi terhadap sesuatu gerakan. Akhirnya mereka akan menentukan “The Best Move” yang perlu masing-masing lalukan.

Wallahu a’lam.

#politikmalaysia

DrIsbah, Teras Jernang, 25-08-2021

Rujukan:

[1] Wikipedia, https://ms.wikipedia.org/wiki/Keputusan_pilihan_raya_umum_Malaysia_2018_mengikut_Parlimen

[2] Astroawani, https://www.astroawani.com/berita-politik/sistem-dua-parti-baik-untuk-negara-musa-hitam-113598

[3] Suara Merdeka, https://suaramerdeka.com.my/sistem-dua-parti-elak-kecelaruan-politik/

Friday 20 August 2021

Berpuasa mengaktifkan proses Autophagi dan Autolisis.

Melalui amalan berpuasa, proses Autophagi akan berlaku yang membuat tubuh kita lapar. Ada dua jenis puasa iaitu Puasa Kering (Cara Islam) dan Puasa Berkala (intermittent Fasting) atau Puasa Basah. Ketika tubuh seseorang lapar, maka sel-sel tubuhnya pun ikut lapar.

Puasa Kering ialah istilah yang digunakan bagi menggambarkan tiada makanan atau minuman yang boleh diambil semasa puasa itu dijalankan. Peraturan puasa ini yang diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berpuasa menurut kaedah Islam.

Dalam Puasa Basah atau Puasa Berkala (Intermittent Fasting) peserta puasa dibenarkan minum air kosong atau kopi kalipeluru (bulletproof coffee). Kedua-duanya mengandungi kalori sifar.

Dalam proses Autophagi, sel-sel yang lapar ini akan memakan sel-sel dirinya yang sudah tidak beguna lagi atau sel-sel yang telah rusak atau sel mati, agar tidak menjadi sampah dalam tubuh.

Dengan demikian sel-sel mati ini tidak akan menghasilkan sesuatu yang boleh membahayakan tubuh orang yang berpuasa. Jadi, tubuh orang yang berpuasa akan membersihkan dirinya sendiri!!!..

Seorang ilmuwan yang bernama Yoshinori Ohsumi telah membuktikan dan menemukan bahwa ketika seseorang lapar (berpuasa) dalam jangka waktu tidak kurang dari 8 jam dan tidak lebih dari 16 jam, maka tubuh akan membentuk protein khusus di seluruh tubuh yang disebut autophagisom.

Autophagisom tersebut boleh diandaikan sebagai suatu penyapu raksasa yang mengumpulkan sel-sel mati yang tidak berguna dan boleh membahayakan tubuh untuk dikeluarkan daripada tubuh. Sel-sel mati ini banyak dihasilkan oleh sel kanser dan sel berbentuk kuman (virus atau bakteri) penyebab penyakit.

Protein autophagisom tersebut menghancurkan dan memakan sel-sel berbahaya tersebut, lalu mengeluarkannya.

Sebagai kesimpulan dari penyelidikan ini, dokter Yoshinori Ohsumi menyarankan agar seseorang boleh menjalani proses melaparkan diri (berpuasa) dua atau tiga kali dalam seminggu.

Ini sesuai dengan suruhan Nabi Muhammad SAW agar kita amalkan berpuasa Isnin dan Khamis. Jika berupaya puasa Isnin dan Khamis ditambah dengan puasa pertengahan bulan pada tanggal 13, 14, dan 15 atau 14,15, dan 16 setiap bulan. Jika berupaya lagi boleh amalkan Puasa Daud iaitu puasa selang sehari. Ini bermakna konsep AUTOPHAGI sesungguhnya sudah dicadangkan sejak 15 abad yang lalu oleh Rasulullah SAW.

Penyelidikan ini telah memenangkan penghargaan NOBEL KEDOKTERAN kepada dokter Yoshinori Ohsumi atas penyelidikan yang beliau namakan sebagai AUTOPHAGI.

Bersamaan dengan proses Autophagi terdapat satu proses lagi yang terjadi ialah proses AUTOLISIS, yang pembuangan sel-sel yang mati atau rusak di dalam tubuh kita.

Ketika kita berpuasa, apa yang kita makan ketika bersahur akan dicerna tubuh dalam masa kurang daripada 8 jam, jadi sekitar jam 12.00 tengahari sehingga jam 6.00 petang badan kita akan tidak terdaya. Ketika itulah proses autophagi dan proses autolisis sedang berlaku. Jika kita faham keadaan ini, maka kita mestilah bersyukur kepada Allah bahwa secara semulajadi badan kita sedang dicuci dan bahan-bahan yang dicuci itu akan dikeluarkan melalui peluh atau air kencing.

Jika kita bersahur jam 5.00 pagi, makan jam 12.00 tengahari makanan yang kita makan waktu sahur sudah habis dicernakan oleh badan dan seterusnya proses autophagi dan autolisis akan berlaku.

Cuba bayangkan pada masa kita tidak berpuasa, jam 7.00 pagi kita bersarapan, maka jam 3.00 petang baru badan kita selesai mencerna makanan sarapan yang kita makan 8 jam yang lalu. Badan tak siap proses kita tambah lagi makan sekitar jam 12.00 tengahari. Ini akan menggangu proses autophagi dan juga proses autolisis.

Paling baik kita setkan jam agar jarakmasa (duration) kita makan itu selama 8 jam atau lebih supaya proses autophagi dan autolisis boleh berfungsi bagi membersihkan tubuh badan kita.

Hebat. Inilah sebabnya kenapa berpuasa itu sihat, bahkan In Syaa Allah boleh mengobati banyak penyakit seperti gastrik, diabetes, buah pinggang, dan kanser. Makin banyak puasa, makin bersih tubuh kita dan makin sihat kita.

Maka bahagialah kita diperintahkan puasa. Selamat berpuasa. Semoga kita semakin cinta menjalankan puasa dan sihat selalu. Aamiin.

DrIsbah, Teras Jernang, 21-08-2021

Rujukan; https://www.nobelprize.oryg/prizes/medicine/2016/press-release/

Bagaimana Umat Islam dikalahkan

Allah menyebut dengan jelas bahwa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha selama-lamanya terhadap orang-orang Islam sehingga orang-orang Islam mengikut jalan hdup mereka.

"Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka." (Al Baqarah: 120). Penjajah Inggeris, Belanda dan lain-lain memberi alasan mencari rempah ratus ketika mereka bergerak menakluki negara-negara di bahagian timur dunia, namun hakikat sebenarnya ialah mereka benci kepada perkembangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan jayanya. Mereka ingin menghapuskan cahaya Islam yang dipegang teguh oleh Nabi Muhammad SAW dan menyekat penyebaran Islam agar tidak meluas.

Gerakan menentang Islam bermula sejak peristiwa perang Ahzab pada zaman Rasulullah SAW kerana kebenciaan dan permusuhan golongan Yahudi dan Nasrani yg tidak berpuashati dengan kebangkitan pengaruh dakwah Islam yg berpengkalan di Madinah. Golongan Yahudi ini daripada kelompok Bani Nadhir yg tinggal di Khaibar telah menghasut kafir Mekah yg dipimpin oleh Abu Suffian supaya mengadakan usaha yang terancang dan berpakat dengan khalayak Kafir yg lain untuk menyerang orang Islam di Madinah.

Kempen jahat mereka ini telah didedahkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran, surah An-Nisa', ayat 51 hingga 55 yg bermaksud: "Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari al-Kitab? Mereka percaya kepada Jibt dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Mekah), bahawa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman." (An-Nisa':51)

Kini mereka membentuk golongan Ahzab versi baru yang bernama Zionis dengan peralatan teknologi dan kaedah yang lebih canggih dengan menguasai ICT, perniagaan dan politik dunia bersama Amerika Syarikat dan Negara-Negara Arab yang condong kepada pengaruh Zionis dan Barat.

Banyak syarikat besar di dunia seperti KFC, McD, Pizza Hut, dan ribuan yang lain-lain dikuasai oleh Yahudi terutamanya kelompok Zionis. Perniagaan ini sudah pun bertapak di Kota Mekah dan Madinah. Di Jeddah pun sudah diadakan konsert penyanyi Barat yang etika dan cara hidup mereka sangat bertentangan dengan Islam. Inilah serangan-serangan yang paling hebat yang sedang memecahbelahkan masyarakat Islam di dunia. Anak-anak muda Islam sudah banyak yang terpengaruh dengan budaya hidup Barat yang bertentangan dengan Islam.

Marilah kita menjaga setidak-tidaknya keluarga, sahabat handai dan jiran-jiran kita daripada terjebak dengan jerat-jerat Zionis yang sangat halus melalui pemakanan, gaya hidup, Pendidikan dan lain-lain aspek kehidupan. Mungkin kita terpaksa mengambil pengalaman pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang lari bersembunyi dalam gua agar keimanan mereka terjaga dengan baik. Semoga Allah memberikan kita kekuatan Iman dan Taqwa.

Baru-baru ini terbit berita agar senate Amerika meluluskan rang undang-undang Pada 5 Februari 2019, Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan satu langkah kontroversi yang melindungi Israel daripada sebarang boikot.

Bagaimanapun, penerimaannya masih belum dapat dipastikan kerana dewan perwakilan dikuasai parti Demokratik, terutama dikalangan ahli parlimen liberal yang cukup sensitif dengan pendekatan yang melanggar hak kebebasan bersuara.

Rang undang-undang keselamatan Asia Barat itu menyasarkan untuk memerangi gerakan boikot, pelucutan pelaburan dan sekatan (BDS) yang mengecam pendudukan Israel di wilayah Palestin dan menekan syarikat yang menjalankan perniagaan dengan negara Yahudi terbabit.

Penaja utama langkah itu, Senator Republikan Marco Rubio, berkata beliau memperjuangkan apa yang disifatkannya sebagai satu “kempen perang diskriminasi ekonomi terhadap Israel.”

Ramai sudah maklum bahwa politik Amerika sangat dipengaruhi oleh para pelobi Isreal, terutamanya peranan Zionis Rothchild yang berkeliaran dalam pentadbiran tertinggi Amerika Syarikat. Hampir semua Presiden Amerika yang menang mesti ada peranan Zionis di belakangnya. Kesan Peperangan Ahzab yang berlaku pada Zaman Rasulullah semakin menjadi-jadi kini kerana negara-negara Islam tidak bersatu melawan Zionis Israel. Sampai bila kes begini akan berlanjutan?

Pada zaman moden ini Perdana Menteri, Winston Churchill mendedahkan teknik orang kafir mengalahkan Umat Islam. Suatu ketika, Winston Churchill berdiri di hadapan kolam depan Istana, beliau dikelilingi panglima-panglima perangnya yang terbaik. Dia memerintahkan 10 orang tenteranya yg terbaik untuk menangkap ikan didalam kolam. Berkali-kali, mereka cuba menangkap, tetapi mereka tetap gagal. Ikan amat tangkas dalam air dan sentiasa lepas dari tangan.

Setelah tentera tersebut kepenatan dan masih gagal menangkap ikan, maka Winston Churchill berdiri dan mengatakan bahwa "ikan tersebut tidak akan berjaya ditangkap atau dibunuh jika ikan tersebut TETAP berada didalam air."

Kemudian Winston Churchill perintahkan "keringkan kolam dengan gayung". Maka tentera berkenaan segera mengambil gayung dan dengan perlahan-lahan kolam itu kering. Walaupun memakan waktu yang lama, tapi akhirnya ikan tersebut menggelepar, laksana “Fish out of water". Hanya menunggu masa untuk ditangkap dan menunggu saat kematiannya.

Begitulah cara Winston Churchill, seorang lagenda pahlawan perang dunia ke-2, mengajar umat Kristian yang lebih ramai dari umat Islam bahawa mereka tidak akan dapat mengalahkan umat Islam yg mengamalkan keIslamannya.

Mereka yang mengamalkan al-Quran dan as-Sunnah dalam hidupnya, yang menjadikan mereka mencintai Allah swt dan Rasulullah saw melebihi cinta terhadap dunia, bahkan melebihi cinta terhadap diri sendiri dengan menjadikan syahid sebagai impian.

Dia melanjutkan, untuk menghancurkan Islam itu amat mudah, "keringkan air nya!". Keringkan "akidahnya". Keringkan "keimanannya". Keringkan "ilmunya". Keringkan "ekonominya,". Keringkan "amalannya". Jauhkan mereka dari al-Quran, jauhkan mereka dari as-Sunnah, jauhkan dari masjid dan jauhkan dari menteladani Rasulullah, jauhkan dari majlis ilmu.

Muslim yang sudah terpesong akidah, jauh dari al-Quran, jauh dari as-Sunnah, jauh dari solat, jauh dari rukun Islam, jauh dari rukun Iman, jauh dari masjid, dan jauh dari majlis ilmu, bagaikan ikan yg sedang menggelepar kekeringan. Umat Islam hanya menunggu saat kematian yang amat HINA. Dan itulah yang sudah terjadi sekarang ini...!!! Astaghfirullah...

Moga kita semua insaf dan kembali kepada janji-janji kita kepada Allah swt. Ingat semula, kita telah bersumpah dan berjanji setiap hari bahawa : "sesungguhnya aku bersumpah dan berjanji bahawa aku akan mengikut semua perintah Allah yang tertulis didalam Al-Quran sama seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, susah dan senang, siang dan malam, sehingga mati." itulah makna sumpah dan janji kita ketika mengucapkan dua kalimah syahadat.

#jatidirimelayuislam

DrIsbah, Teras Jernang, 20-08-2021