Friday 27 August 2021

Politik Fitnah adalah politik tidak matang.

Setelah 64 tahun negara kita merdeka, politik negara kita mestilah berubah kepada politik yang lebih matang, politik yang ada ilmu bukan kosong. Setiap pertuduhan perlu ada bukti kukuh. Hindarilah politik fitnah untuk terus berkuasa.

Menurut Wikipedia, fitnah merupakan satu bentuk komunikasi kepada satu pihak atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain, ia berdasarkan atas fakta palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, obses, atau menjatuhkan dan/atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu pihak. Kata "fitnah" diserap dari Bahasa Arab, dan pengertian aslinya adalah "cubaan" atau "ujian".

Sejak tahun 1989 hingga kini iaitu tahun 2020 politik Malaysia menjadi buruk (jelek) disebabkan fitnah yang tidak masuk akal dan telah terbukti palsu di mahkamah, namun seteru politik masih memainkan isu yang sangat menjijikkan itu. Apakah mereka ingin mendidik masyarakaat Malaysia menjadi sejijik itu dalam hidup mereka?

Mengenai isu fitnah terdapat lima belas (15) ayat al-Qur’an mengenai fitnah iaitu Al-Baqarah (2) : 191; Al-Baqarah (2) : 193; Al-Baqarah (2) : 217; Ali’-Imran (3) : 7; An Nisa’ (4) : 91; Al-Anfal (8) : 39; Al-Anfal (8) : 73; At-Taubah (9) : 47; At-Taubah (9) : 48; At-Taubah (9) : 49; Yunus (11) : 85; Thaha (20) : 85; Al Hajj (22) : 11; Al-Hajj (22) : 53; dan Qalam (68) : 11.

Ini menunjukkan betapa seriusnya isu fitnah yang dikatakan lebih kejam daripada pembunuhan. Mereka bertujuan untuk membunuh karakter pemimpin yang baik agar mereka yang jahat dan serakah dapat bertindak sesuka hati. Kesaksian juga direka-reka dan semuanya palsu belaka.

Sungguh malang Malaysia mempunyai ahli-ahli politik yang suka menabur fitnah berbanding berhujjah dengan mengemukakan bukti yang nyata dan terang. Juga malang Malaysia memiliki sejumlah saksi yang sanggup menggadai maruah diri dengan mendapat upah yang tidak seberapa. Bersaralah dari menjadi pemfitnah dan menjadi pesaksi palsu selama-lamanya dan ingatlah kepada amaran Allah dengan balasan yang sungguh dahsyat di neraka.

Manusia sangat suka menyebarkan sesuatu berita tanpa mengesahkan dulu apakah berita yang didapati itu shoheh (benar) atau tidak. Allah swt mengingatkan kita melalui FirmanNya dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Kalau panduan ini dituruti, maka tidak perlulah Harian Kompas dari Indonesia terpaksa meminta maaf kepada Perdana Menteri Malaysia beberapa hari yang lalu mengenai berita yang mereka terbitkan. Hanya Allah swt dan orang yang melakukan sesuatu perkara itu yang tahu, yang lain hanyalah membuat andaian semata-mata. Sekiranya orang berbuat sesuatu perkara itu tidak jujur dengan perbuatannya maka dia akan mencari seribu satu alasan untuk menutup keburukannya atau juga dia akan mencari seribu satu alasan untuk menegakkan kebenarannya.

Fitnah mengikut kefahaman Bahasa Melayu adalah komunikasi yang ditujukan kepada seseorang atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif kepada sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain berdasarkan fakta palsu. Ia bermatlamat memburukkan atau mempengaruhi penghormatan, wibawa, atau reputasi seseorang.

Dalam ayat ini Islam menekankan kaedah lebih cermat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita yang disebarkan supaya manusia keseluruhannya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah.

Setiap Muslim wajib menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu diteliti kesahihannya.

Justeru dalam Islam, ketika berhadapan dengan sesuatu perkhabaran, kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Fitnah berasal daripada bahasa Arab, dan pengertian asalnya adalah "cobaan" atau "ujian". Dalam Al-Quraan dan Hadis Nabi SAW, perkataan fitnah digunakan bagi menunjukkan pelbagai makna yang berbeza-beza mengikut kefahaman ayat dan ada sesetengahnya adalah boleh dirujuk sebagaimana kefahaman masyarakat kita terhadap maksud fitnah.

Maksud dan pengertian fitnah jika diselak lebar al-Quran dan hadis adalah sebagaimana berikut:

1. Kufur atau kafir

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah: “Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah . Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh…” (Al Baqarah: 217)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” (Al Baqarah: 193)

Kata fitnah dalam ayat ini menurut para ulama tafsir adalah bermaksud ‘kekafiran’ atau ‘kemusyrikan’. Iaitu bahawa mereka itu menyebarkan kekafiran.

Sementara sebahagian kaum muslimin oleh karena belum dikhabarkan oleh Nabi shalallahu ‘alaihi wassalam maka mereka telah melakukan kekeliruan dengan memerangi kaum musyrik di bulan haram (bulan yang ditegah berperang). Namun dek kerana kekafiran kaum musyrik itu lebih besar bahayanya daripada kekeliruan berperang di bulan suci maka keizinan untuk memerangi kekufuran yang mulai merebak adalah dituntut.

2. Bencana

Sabda nabi Sallallhu alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Apabila datang (meminang) kepada kamu seorang pemuda yang kamu sukai agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia dengan anak perempuan mu. Dikhuatiri akan terjadi fitnah (bencana) dan kerosakan yang besar di muka bumi.”

Perkataan fitnah dalah hadis ini memberikan maksud bencana atau musibah yang akan berlaku sekiranya perkahwinan ditangguhkan. Ini kerana syarat pemuda soleh itu adalah sebaik-baik pilihan untuk dijadikan suami kepada anak-anak perempuan.

3. Konflik

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepada kamu. Di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, itulah pokok-pokok isi Al-Qur’an dan yang lain (ayat-ayat) mu-tasyaabihaat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah…” (Ali Imran: 7)

Terdapat sebahagian orang Islam yang hanya menggunakan semata-mata penilaian mengikut aspek rasional. Sengaja mencari penafsiran ayat melalui pendekatan logik akal manusia yang terbatas semata-mata, sehingga melencong dari tafsiran yang tepat. Tujuan mereka semata-mata menyebar fitnah, iaitu mencari konflik dan perselisihan dengan sesama muslim.

Inilah penjelasan kepada ayat ini yang dengan jelas menyebut perkataan fitnah. Ia bermaksud menimbulkan konflik dan kekeliruan dalam msyarakat. Ia juga disebut sebagai propaganda.

4. Tipu

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud :

“Kemudian tiadalah fitnah mereka, kecuali mengatakan: “Demi Allah, Tuhan kami, tiadalah kami mempersekutukan Allah” (Al An’am: 23)

Fitnah yang dimaksud dalam ayat ini adalah ucapan tipu dan dusta, untuk membela diri mereka di hadapan Allah. Padahal Allah mengetahui hakikat mereka, dan apa yang tersembunyi dalam hati mereka.

5. Binasa

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus dalam fitnah.” Ketahuilah bahwa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah . Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir” (At Taubah: 49)

Dalam ayat ini kaum munafik di masa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam enggan menyertai peperangangan kerana menganggap ianya adalah suatu kebinasaan (fitnah). Padahal sesungguhnya mereka telahpun berada dalam kebinasaan dengan sifat munafik. Iaitu kebinasaan diri mereka di akhirat kelak dengan balasan neraka yang paling bawah.

6. Gangguan

Firman Allah Subhanahu Wata’ala: yang bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”, maka apabila ia disakiti (karena ia beriman) kepada Allah, ia menganggap fitnah (gangguan) manusia itu sebagai azab Allah . Dan sungguh jika datang pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata: “Sesungguhnya kami adalah bersamamu”. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada semua manusia?” (Al Ankabut: 10)

Dalam ayat ini, kata fitnah membawa maksud ganguan. Inilah sifat biasa manusia yang menganggap ujian Allah dalam bentuk gangguan manusia sebagai azab.

Justeru adalah jelas perlakuan fitnah secara umumnya adalah merujuk kepada tindakan yang jahat dan berdosa. Sekalipun kefahamannya adalah berbeza-beza namun hakikatnya ia merujuk kepada perbuatan yang akan membawa manusia kepada jalan Neraka.

Soalnya, manakah tempat kembali yang lebih dahsyat selain Neraka oleh Allah Subhanahu Wata’ala bagi mereka yang zalim. Ia adalah sebagai tanda keadilan-Nya bagi ummat nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dileluasakan untuk melakukan apa sahaja ketika di dunia termasuk perilaku memfitnah sesuatu yang dusta menggunakan fakta salah dengan tujuan jahat memberikan stigma negatif ke atas peribadi seseorang.

Mohon dijauhi Allah Negara kita dari suburnya amalan fitnah memfitnah bagi menjatuhkan maruah seseorang. Biar apa pun tujuan satu golongan membuat fitnah terhadap golongan yang lain, amat kita harapkan amalan itu ditamatkan segera.

Bercakap benar lebih baik dan mudah dari bercakap bohong kerana setiap kebohongan akan melahirkan rentetan kebohongan yang baru bagi menutup kebohongan pertama. Jujurlah terhadap segala perbuatan kita kerana akhirnya Allah akan menilai setiap perbuatan yang kita lakukan di dunia untuk mendapat balasan di akhirat.

Kita perlu Kembali kepada politik yang berakhlak dan jangan sekali-kali mengamalkan pendapat yang menyatakan, tujuan menghalalkan cara (the end justifies the means). Kalau tujuannya baik, namun cara untuk sampai kepada tujuan itu salah, maka tujuan itu pun tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Kesan daripada politik fitnah akan membawa konotasi buruk kepada rakyat, mereka tidak dapat membezakan antara mana yang baik dan mana yang buruk. Hal ini akan lebih parah jika pemimpin politik yang mereka sanjung mengamalkan politik fitnah untuk naik dalam karier politik mereka.

Aku berdoa agar Malaysia mempunyai ahli politik yang benar-benar berjuang untuk rakyat bukan berjuang untuk diri sendiri dan kroni-kroni mereka. Ya Allah, jadikanlah mereka ahli-ahli politik yang jujur dan membela nasib rakyat. Aamiin!!!.

#politikmalaysia

#cetusanminda

DrIsbah, Teras Jernang, 27-08-2021

No comments:

Post a Comment